APA HUKUMNYA JIKA ISTERI MENOLAK AJAKAN SUAMI UNTUK BERSAMA?
Apakah berdosa bila seorang isteri menolak ajakan suami untuk berjima’ kerana beliau sedang kepenatan atau mengantuk? Si suami kerap menggauli isterinya dan menyebabkan si isteri itu rasa keletihan.
Jawapan:
Suami yang selalu mengajak isterinya untuk melakukan hubungan seks adalah suami yang sayang kepada isterinya. Itu adalah salah satu cara suami menzahirkan kasih sayangnya terhadap isterinya. Keperluan suami terhadap isteri memang sangat besar, sehingga isteri sudah maklum akan perkara itu sejak hari pertama pernikahan lagi.
Apalagi, jika wanita yang usianya masih muda di mana setiap bulannya ada waktu haid iaitu tidak boleh digauli oleh suaminya secara purata 7 hari. Setelah melahirkan anak pun si isteri tersebut akan 'bercuti' dari suaminya selama lebih kurang 40 hari kerana syariat Islam melarang suami daripada menjimak isteri dalam jangka waktu tersebut.
Belum dikira lagi bila isteri sakit atau ada uzur yang lain dan juga suami yang sering keluar rumah kerana mencari nafkah atau sebab-sebab yang lainnya.
Jika isteri menolak permintaan suami kerana penat atau mengantuk, sedangkan si suami hanya mempunyai satu isteri sahaja, maka kesalahan tersebut berat berada pada pihak isteri kerana suami tidak dapat melampiaskan nafsunya terhadap wanita lain kecuali kepada isteri sendiri, sebagaimana disebutkan dalam surat Al-Mukminun ayat 6.
Selanjutnya, bagaimana seharusnya jika isteri bila diajak oleh suaminya untuk bersama? Perhatikan hadits di bawah ini.
Dari Thalqu bin Ali, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِذَا الرَّجُلُ دَعَا زَوْجَتَهُ فَلْتَأْتِهِ وَ إِنْ كَانَتْ عَلَى التَّنُّوْرِ
“Apabila seorang suami mengajak isterinya untuk bersama, maka hendaknya wanita itu mendatanginya sekalipun dia berada di dapur.” (HR. Tirmidzi: 4/387; dinilai shahih oleh Al-Albani dalam Shahih At-Targhib: 2/199)
Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِذَا الرَّجُلُ لاَ يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُوْمَ وَ زَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلاَّ بِإِذْنِهِ
“Tidak halal bagi wanita untuk berpuasa (sunnah) sedangkan suaminya berada di rumah, kecuali dengan izinnya.” (HR. Bukhari: 16/199)
Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ اِمْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا اَلْمَلآئِكَةُ حَتىَّ تُصْبِحَ
“Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri enggan sehingga suami marah pada malam harinya, malaikat melaknat sang isteri sehingga sampai waktu subuh.” (HR. Bukhari: 11/14).
Namun sebagai seorang suami yang baik, seharusnya suami tersebut perlu mempertimbangkan beberapa perkara agar isteri tidak rasa terbeban jika isterinya bekerja dan menguruskan sebahagian besar hal rumahtangga seperti memasak, menguruskan pakaian, menjaga anak-anak kecil, faktor kesihatan dan seumpamanya.
Hubungan kelamin memerlukan ketenangan minda dan jiwa serta ianya adalah satu aktiviti fizikal yang menghauskan tenaga. Pastikan isteri benar-benar bersedia sebelum mengajaknya untuk bersama. Ianya akan menghasilkan kenikmatan buat kedua-dua belah pihak jika suami dan isteri tersebut saling faham memahami antara satu sama lain.
By: babab. net
"Seorang isteri yang baik akan cuba memperbaiki dirinya untuk suaminya. Tiada manusia yang sempurna, namun kesempurnaan itu akan terlihat dalam usaha dan kesungguhan dalam perbuatan"
Ulasan
Catat Ulasan