Sejarah Waja Club
Hasil pertemuan demi pertemuan tidak rasmi antara beberapa orang pemilik kereta waja, akhirnya tercetus idea salah seorang pemilik untuk menubuhkan sebuah kelab pemilik kereta jenama proton waja. Sekitar bulan Mei tahun 2005, maka tertubuhlah sebuah kelab kereta proton waja yang diberi nama WMC KL(Waja Motorsport Club Kuala Lumpur). Bagaimanapun kesinambungan kelab ini tidak kesampaian. Ia hampir tenggelam setelah pemergian Arwah Razif iaitu pengasas kelab WMC KL
Bagaimanapun, setelah kian lama, beberapa orang ahli lama telah berusaha kembali untuk menghidupkan kelab proton waja ini dengan nama baru dan juga semangat baru iaitu WajaClub. Secara rasminya WajaClub telah ditubuhkan pada Oktober 2006. Bagi memantapkan lagi WajaClub, atas inisiatif beberapa ahli, mereka telah berusaha mendaftarkan WajaClub sebagai sebuah pertubuhan kelab kereta yang sah berdaftar dan menurut undang-undang pendaftaran. No pendaftaran WajaClub ialah NSE-0422/09. Presiden WajaClub yang baru dan terkini ialah saudara Hasrulnizam Abdullah.
Wawasan
Tujuan utama penubuhan WajaClub ialah untuk menghimpun seberapa ramai pemilik kenderaan jenama proton waja untuk bernaung di bawah satu pertubuhan yang sah berdaftar. Dengan itu ahli-ahli dapat bertukar-tukar pendapat dan berbincang tentang industri permotoran Negara. Sehingga kini, ahli-ahli WajaClub merangkumi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Dari permulaan bilangan ahli tidak sampai 50 orang, statistik terkini menunjukkan bilangan ahli WajaClub hampir mencecah 200 orang. Wajaclub telah berhasil mengadakan beberapa majlis perjumpaan antara ahli, menganjurkan majlis berbuka puasa, majlis rumah terbuka, hari keluarga, Mesyuarat Agung Tahunan, sambutan kemerdekaan, sambutan tahun baru, menyertai beberapa autoshow, interTT dengan beberapa kelab kereta lain dan beberapa lagi program berbentuk kemasyarakatan.
Logo
Kelab menggunakan lambang kereta nasional waja yang direkabentuk secara grafik. Kelab hanya menggunakan 2 warna sahaja iaitu putih dan merah.
• Warna putih yang menjadi warna asas lambang kelab menunjukan sifat keikhlasan dikalangan ahli-ahli kelab dalam menangani segala perkara secara musyawarah.
• Warna merah pada garisan yang membentuk jalur putus-putus menghala ke bonet depan kereta menunjukan bahawa pertubuhan ini memiliki semangat tabah dan berhati waja serta tidak mengenal erti kecewa dalam mengharungi segala dugaan berpersatuan. Sesuai dengan imej ‘waja’ itu sendiri, warna merah pada jalur tersebut yang diakhiri dengan tanda seperti anak panah, menunjukan setiap ahli mempunyai hala tuju yang satu iaitu untuk menaikan nama kereta proton waja di persada dunia.
Manakala teks ‘WajaClub’ di bawah lambang kereta tersebut adalah sebagai lambang penaung kelab dan menjadi tapak kepada keseluruhan lambang. Teks ‘WC’ pula menunjukan semangat gabungan setiakawan antara sesama ahli.
Moto
“WajaClub Peneraju Dunia Permotoran Negara”.
Ulasan
Catat Ulasan