FIRAUNISME
Hari ini adalah hari tenggelamnya Firaun bersama kuncu-kuncunya di Laut Merah. Hari kemenangan Nabi Musa. Perayaan Hari Asyura' adalah manifestasi perlawanan antara Islam dan pemerintahan diktator.
Al-Quran mengulangi nama Firaun sebanyak 74 kali di dalam 26 surah. Sebagai penekanan, betapa kita umat Islam perlu mengenali perwatakan Firaun.
⚫ Takut Dengan Bayang Sendiri.
Kesan dari sikap gila kuasa, menyebabkan psikologi Firaun sentiasa diselubungi rasa terancam. Sentiasa merasakan ada orang ingin menjatuhkannya. Imam Ibnu Kathir telah menafsirkan surah Ibrahim ayat 49 menjelaskan tentang mimpi ngeri yang menimpa Firaun.
Mimpi tersebut menampakkan munculnya api dari Baitul Maqdis melimpah ke penempatan kaum Qibti yang ditakwilkan sebagai amaran bahawa akan muncul pencabar Firaun di kalangan Bani Israel. Menambahkan lagi rasa takut dengan bayang sendiri yang dideritai oleh Firaun.
⚫ Pukul Rata.
Ekoran dari ketakutan itu, Firaun menguatkuasakan akta secara pukul rata. Mana-mana wanita yang mengandung dari kalangan Bani Israel hendaklah disenarai-hitamkan. Seterusnya jika lahirnya bayi lelaki, wajib dibunuh.
⚫ Diktator.
Firaun adalah lambang karektor penguasa yang angkuh, sekaligus degil bencikan nasihat dan kritikan.
"Sesungguhnya Firaun angkuh di atas muka bumi" al-Qasas 4.
Bahkan Firaun mensyaratkan sesiapa yang mahu bersama dengan Islam, mesti meminta izin kepadanya terlebih dahulu. Sebagai contoh ketika golongan ahli sihir memeluk Islam, Firaun membentak:
"Apakah berani kamu beriman dengan Musa sedangkan kamu belum meminta izin pada aku" - al-Qasas 71.
⚫ Gemar Menyerang Peribadi.
Mengherdik, mengejek dan memperlekeh lawan tanpa membalas hujah yang sewajarnya. Firaun menyerang peribadi Nabi Musa yang tidak lancar dalam pengucapan sebagai cubaan melencong dari menjawab hujah yang dikemukakan.
"Inilah orangnya (Musa yang kononnya mahu menentangku), sedangkan cakapnya pun hampir tidak difahami" - al-Zukhruf 52.
⚫ Suka Ungkit Jasa.
Ketika Nabi Musa bersungguh menyampaikan mesej da'wah, Firaun bermudah-mudah memperlekeh Nabi Musa. Kamu budak lagi. Siapa yang makan garam dulu? Itulah gaya Firaun dengan naratif yang selalu kita dengar.
"Bukankah kami yang telah membesarkanmu (di dalam istana kami), waktu itu kamu masih budak" - al-Syu'ara 18.
⚫ Obses Dengan Pembangunan Material.
Firaun bukan sekadar menawarkan manifesto yang belum dijayakan. Bahkan dia membentangkan rekod dan bukti kejayaannya membangunkan Mesir. Firaun dilihat amat kompiten dari sudut material. Sedangkan yang ditimbulkan oleh Nabi Musa bukan isu pembangunan, tetapi isu aqidah. Firaun gagal memahami isu sebenar.
"Bukankah aku penguasa yang telah memajukan Mesir? Dan di bawah pentadbiranku sungai-sungai dapat mengalir. Maka apakah kamu tidak menyaksikan (kejayaan) aku?" - al-Zukhruf 51.
Sungai pada zaman tersebut adalah sistem perhubungan jarak jauh. Sama fungsinya seperti lebuhraya pada hari ini.
⚫ Projek Pembodohan.
Firaun suka pengikutnya bodoh. Logik Firaun, jika pengikutnya pandai susah pula untuk dieksploit dan ditipu olehnya. Maka projek pembodohan dilaksanakan sekian lama, agar cara berfikir pengikutnya boleh dikuasai. Firaun menganjurkan agar pengikutnya ikut membuta tuli dan berikan kepercayaan sepenuhnya kepada Firaun.
"Maka Firaun meringankan akal (memperbodohkan) kaumnya, maka mereka sentiasa patuh kepadanya" - al-Zukhruf 53.
⚫ Materialisme & Tahyul.
Firaun mendoktrin pengikutnya agar mengukur benar dan salah berdasarkan ukuran material. Jika kaya dan mendatangkan laba keuntungan, maka ia adalah benar. Jika miskin dan tidak mendatangkan laba keuntungan, maka ia adalah salah.
"(Jika Musa benar) mengapa tidak dipakaikan padanya gelang dari emas?" - al-Zukhruf 53.
Pada masa yang sama Firaun mendoktrin kononnya perjuangan yang benar mesti dihiasi dengan fenomena aneh. Padahal apabila mu'jizat Nabi Musa benar-benar terpampang depan mata, Firaun tetap degil.
"Ataupun (sepatutnya) malaikat datang mengirinya (Musa)" - al-Zukhruf 53.
⚫ Bergantung Dengan 3 Jentera.
• Think tank politik : Kumpulan strategis yang dipimpin oleh Haman.
• Ekonomi : Golongan korporat yang membiayai kos-kos aktiviti dan projek Firaun. Ketuanya adalah Qarun.
• Media Propaganda : Ahli sihir seramai 80 ribu orang yang memanipulasi minda rakyat dan menguasai persepsi mereka.
Misi media propaganda sememangnya menelan belanja yang besar. Di sini tergambar hubungan yang saling memerlukan antara 3 jentera di atas. Ahli sihir Firaun meminta peruntukan demi melangsungkan tugas mereka.
"Dan datang ahli sihir kepada Firaun lantas bertanya "Apakah kami beroleh upah sekiranya kami menang berlawan?" Firaun menjawab "Ya, dan sesungguhnya kamu benar-benar dikira golongan (jentera) yang dekat denganku" - al-A'raf 113-114.
⚫ Acah-acah Demokratik.
Banyak gimik yang Firaun lakukan untuk kelihatan kononnya sangat terbuka dan mendahulukan suara ramai. Gimik ini berjaya kerana majoriti rakyatnya telah dibodohkan. Maka majoriti yang bodoh itu sentiasa menyokong kejahatan Firaun. Lantas terhasillah demokrasi fantasi.
Firaun menyediakan pentas terbuka secara live, debat antaranya dan Nabi Musa. Bukankah itu kelihatan sangat demokratik? Boleh belek surah Taha ayat 23 hingga 27.
Begitu juga ketika Firaun mewartakan akta yang menyokong kezalimannya, dia mengolah agar dilihat kononnya keputusan dipilih oleh orang ramai. Firaun hanya mahu dilihat sebagai pelaksana yang menterjemahkan kehendak ramai.
"Apakah pandangan kamu semua?" - al-Syu'ara' 35.
Pungutan suara ini dibuat oleh Firaun untuk mencipta keputusan agar Nabi Musa diperangi.
⚫ Politik Ugut.
Apabila Firaun gagal memanfaatkan gimik demokrasinya, maka dia melancarkan ugutan. Sekejap bebas memilih, sekejap tidak boleh memilih. Apabila Firaun kaget melihat rakyatnya sudah mula tertarik dengan hujah Nabi Musa, maka Firaun mewartakan:
"Seseungguhnya jika kamu (Musa) menyembah tuhan lain selain aku, aku akan pastikan kamu tergolong di kalangan banduan" - al-Syu'ara 29.
⚫ Islamphobia.
Firaun menakut-nakutkan rakyatnya. Kononnya Islam yang dibawa oleh Nabi Musa mendatangkan bahaya kepada rakyat. Hakikatnya ajaran Nabi Musa langsung tidak mengancam keselamatan rakyat. Namun sentimen orang bawahan dimainkan oleh Firaun. Tujuannya adalah untuk menarik sokongan agar rakyat bersama-sama menentang Nabi Musa yang mengancam kuasa politik Firaun.
"Firaun berkata kepada pembesar-pembesar sekelilingnya, sesungguhnya Musa itu benar-benar ahli sihir. Dia berpotensi menghalau kamu semua dari tanah air ini" - al-Syu'ara' 34-35.
⚫ Tidak Faham Bahasa Bala.
Atas kedegilan Firaun, Allah menimpakan bala yang datang bertimpa-timpa sebagai peringatan dan mesej, bahawa permainan yang dimainkan oleh Firaun adalah permainan yang bahaya. Allah berfirman:
"Maka kami datangkan kepada mereka bala taufan, belalang, kutu, katak dan sungai darah sebagai bukti yang jelas. Tetapi mereka tetap menyombong diri dan adalah mereka kaum yang berdosa" - al-A'raf 133.
Allah mendatangkan bala yang memusnahkan kemajuan ekonomi Mesir yang cukup dibanggakan oleh Firaun. Taufan yang memporak-perandakan. Belalang, kutu dan katak yang mengancam industri pertanian. Air yang merupakan sumber kehidupan bertukar jadi darah.
Malangnya Firaun tidak menghiraukan mesej Allah, menganggap semua itu hanyalah bencana alam semulajadi.
⚫ Dendam Yang Membodohkan.
Inilah yang mendorong Firaun mampus. Dendamnya terhadap Nabi Musa meluap-luap. Hingga menyebabkan dia membuat tindakan bodoh. Hilang pertimbangan rasional.
Firaun mengerahkan semua tenteranya untuk dimusnahkan oleh Allah sekaligus. Firaun buat kerja bodoh dengan masuk ke Laut Merah sedangkan dia menyaksikan laut terbelah kerana mu'jizat Nabi Musa. Bila-bila boleh tertangkup semula, memandangkan tongkat suiz laut berada di tangan Nabi Musa.
"Dan kami mengizinkan Bani Israel melintasi laut. Lalu mereka dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya dengan penuh dendam dan permusuhan" - Yunus 90.
Kebodohan di saat akhir ini ditambah lagi dengan dorongan dari pengampu-pengampu Firaun yang dibelanya sejak dahulu. Mereka memotivasikan Firaun untuk buat apa sahaja walaupun tindakannya bodoh dan bunuh diri.
⚫ Kesimpulan.
Sebenarnya banyak lagi pengajaran dari karektor Firaun yang terakam di dalam al-Quran. Yang perlu kita faham, sikap sedemikian akan kekal bersilih ganti di kalangan manusia sepanjang zaman hinggalah kiamat. Kekalknya al-Quran, bermakna watak-watak yang ada di dalamnya turut kekal wujud.
Beruntunglah mereka yang melihat lakonan dunia dengan cerminan al-Quran. Semoga kita tidak jadi seperti Firaun.
Ulasan
Catat Ulasan