Sarjan Hassan Pahlawan Melayu Islam yang Hebat...
Pada 31 Julai 2013 TV2 telah menyiarkan dokumentari khas Sarjan Hassan. Rupanya Sarjan Hassan ini adalah merupakan pahlawan Melayu Islam yang terlalu hebat tetapi kerana sikapnya yang begitu merendah diri, warak serta tawaduk maka keperwiraannya tidak begitu diketahui umum.
P. Ramlee juga hebat, dibuat filem Sarjan Hassan waktu negara dalam era darurat. P Ramlee ubahsuai filem Sarjan Hassan berkisarkan menentang Jepun, bukan menentang komunis.
Sarjan Hassan berasal dari N.Sembilan. Mendapat pendidikan pondok di Rantau, N.Sembilan. Berguru dengan ramai para ulama termasuk Mufti N.Sembilan, Sheikh Hj Ahmad. Ketika dalam tentera Sarjan Hassan amat warak, tidak pernah tinggal solat.
Dia tidak berdendam dengan komunis, tetapi telah berjaya membunuh lebih 100 orang komunis seorang diri dalam pertempuran. Dia tidak mengamalkan ilmu kebal atau ilmu kebatinan yang sesat. Dia hanya berkata Allah sebagai pelindung. Pernah dalam satu pertempuran ketika rakan yang lain sedang merancang untuk menyerang, tiba-tiba Sarjan Hassan lesap dan terus dengar tembakan. Dengan izin Allah dia telah berjaya membunuh 14 pengganas komunis seorang diri pada ketika itu.
Pengganas komunis amat berdendam dengan Sarjan Hassan. Sentiasa mencari peluang untuk membunuhnya atau keluarganya. Satu hari seorang pengganas komunis wanita yang cantik menyerah diri cuba menggoda Sarjan Hassan. Tetapi atas sifat kewarakan Sarjan Hassan, pengganas komunis wanita itu pula yang belot dan memberi maklumat kepada Sarjan Hassan sehingga tertangkapnya 27 orang pengganas komunis.
Jasa besar Sarjan Hassan yang tidak tercatit dalam sejarah atau akhbar di Tanah Melayu pada ketika itu, hanya dilaporkan dalam akhbar Singapura ialah kejayaan Sarjan Hassan (pada ketika itu berpangkat Leftenan) menggagalkan cubaan komunis untuk sabotaj sambutan kemerdekaan 10 hari sebelum 31 Ogos 1957.
Leftenan Hassan dengan 10 anggota telah berjaya menjejaki tempat pertemuan ketua-ketua pengganas komunis seluruh Tanah Melayu di Rawang. Leftenan Hassan berjaya membunuh komunis dan menjumpai dokumen serta senjata yang akan digunakan untuk menggagalkan sambutan kemerdekaan negara yang berkemungkinan untuk membunuh Tuanku Abdul Rahman dan beberapa pembesar Melayu lain.
Sarjan Hassan adalah satu-satunya orang Islam pada ketika itu dari kelulusan sekolah pondok yang berjaya menjadi pegawai tentera berpangkat Leftenan.
Kubur Sarjan Hassan seperti kubur kebanyakan orang Islam lain, tiada yang istimewanya di Makam Sheikh Hj Mohd Said di Seremban.
Sesungguhnya Sarjan Hassan adalah merupakan pahlawan Islam kebanggaan pengajian pondok di Rantau, N.Sembilan dan kebanggaan rakyat Malaysia.
Saya terkenang kembali kata-kata arwah ayah saya yang pernah berjumpa Sarjan Hassan, memang benarlah ayah saya kata Sarjan Hassan ini pendiam, gempal sikit.
Tidak sia-sialah perjuangan ninda saya salah seorang pengasas Rejimen Askar Melayu iaitu Dato Abdullah Hj Dahan, Undang Rembau, yang telah melahirkan pahlawan Melayu Islam yang begitu hebat, merendah diri, warak, tidak tinggal solat yang perlu dicontohi oleh semua perwira negara.
Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Kapten Hassan bin Othman, ayah saya Lt Kolonel Malakan bin Kamaruddin, ninda saya Dato Abdullah bin Hj Dahan dan seluruh perwira negara yang telah gugur.
Mungkin selepas ini kapal TLDM yang baru boleh diberi nama KD Sarjan Hassan seperti KRI Imam Bonjol di Indonesia, atau Kereta Perisai yang baru diberi nama Sarjan Hassan atau Hassan.
- iskandar zulkarnain -
Ulasan
Catat Ulasan