KISAH HUZAIFAH IBNU YAMAN


PENJAGA SENARAI NAMA ORANG MUNAFIK : PEMEGANG RAHSIA RASULULLAH SAW

1 - Huzaifah Ibnu Yaman lahir dalam kalangan Muslim, dipelihara dan dibesarkan dalam pangkuan kedua orang tuanya yang telah memeluk agama Allah, pada generasi pertama.

2 - Oleh sebab itu, Huzaifah telah Islam sebelum beliau bertemu muka dengan Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah, Huzaifah sering mendampingi baginda bagaikan seorang kekasih. Huzaifah turut bersama-sama dalam setiap peperangan yang dipimpin baginda, kecuali Perang Badar.

3 - Dalam Perang Uhud, Huzaifah ikut memerangi kaum kafir Quraisy bersama dengan ayahnya, Al-Yaman. Dalam perang itu, Huzaifah mendapat dugaan besar. Beliau pulang dengan selamat, tetapi bapanya syahid oleh pedang kaum Muslimin sendiri, bukan kaum Musyrikin. Kaum Muslimin tidak mengetahui jika Al-Yaman adalah sebahagian dari mereka, sehingga mereka membunuhnya dalam perang.

4 - Rasulullah menilai dalam peribadi Huzaifah Ibnu Yaman yang terdapat tiga keistimewaan yang menonjol. Pertama, cerdas, sehingga dia dapat meloloskan diri dalam situasi yang serba sulit. Kedua, cepat menanggapi, berfikir pantas, tepat serta jitu, yang mampu dilakukannya jika diperlukan. Ketiga, cermat memegang rahsia dan berdisiplin tinggi, sehingga tidak seorang pun dapat mengorek apa yang dirahsiakannya.

5 - Kesulitan terbesar yang dihadapi kaum Muslimin di Madinah ialah kehadiran kaum Yahudi Munafik serta sekutu mereka yang sering membuat isu-isu dan muslihat jahat. Untuk menghadapi kesulitan ini, Rasulullah mempercayakan suatu yang sangat rahsia kepada Huzaifah Ibnu Yaman iaitu dengan memberikan senarai nama orang-orang Munafik kepadanya. Itulah suatu rahsia yang tidak pernah bocor kepada siapapun sehingga sekarang.

6 - Dengan mempercayakan hal yang sangat rahsia itu, Rasulullah menugaskan Huzaifah memerhati setiap gerak-geri dan kegiatan mereka, untuk mencegah bahaya yang mungkin dilontarkan mereka terhadap Islam dan kaum Muslimin. Kerana inilah, Huzaifah Ibnu Yaman digelar para Sahabat sebagai 'Shahibu Sirri Rasulullah' (Pemegang Rahsia Rasulullah).

7 - Pada kemuncak Perang Khandaq, Rasulullah memerintahkan Huzaifah melaksanakan suatu tugas yang amat merbahaya. Baginda mengutus Huzaifah ke jantung pertahanan musuh dalam kegelapan malam yang hitam pekat.

8 - "Ada beberapa peristiwa yang dialami musuh. Pergilah engkau ke sana dengan sembunyi-sembunyi untuk mendapatkan data-data yang pasti. Dan laporkan kepada ku segera!," perintah baginda.

9 - Huzaifah pun bangkit dan berangkat dalam ketakutan dan menahan dingin yang sangat menusuk. Maka, Rasulullah pun berdoa, "Ya Allah, lindungilah dia dari depan, dari belakang, kanan, kiri, atas dan dari bawah."

10 - "Demi Allah, sesudah Rasulullah selesai berdoa, ketakutan yang menghantui dalam dada ku dan kedinginan yang menusuk-nusuk tubuh ku hilang seketika, sehingga aku merasa segar dan perkasa," tutur Huzaifah.

11 - Tatkala beliau memalingkan diri dari Rasulullah, baginda memanggilnya dan berkata, "Hai Huzaifah, sekali-kali jangan melakukan tindakan yang mencurigakan mereka hingga tugas mu selesai dan kembali kepada ku!"

12 - "Saya siap, ya Rasulullah," jawab Huzaifah.

13 - Huzaifah pun pergi dengan sembunyi-sembunyi dan berhati-hati sekali, dalam kegelapan malam yang hitam legam. Beliau berhasil menyusup ke jantung pertahanan musuh dengan berlagak seolah-olah sebahagian anggota pasukan mereka. Belum lama berada di tengah-tengah mereka, tiba-tiba terdengar Abu Sufyan memberi arahan.

14 - "Hai, pasukan Quraisy, dengarkan aku berbicara kepada kamu sekalian. Aku sangat khuatir, hendaknya pembicaraan ku ini jangan sampai terdengar oleh Muhammad. Kerana itu, telitilah lebih dahulu setiap orang yang berada di samping kalian masing-masing!"

15 - Mendengar arahan Abu Sufyan, Huzaifah segera memegang tangan orang yang di sebelahnya seraya bertanya, "Siapa kamu?"

Jawabnya, "Aku si Fulan, anak si Fulan."

16 - Sesudah dirasakannya aman, Abu Sufyan melanjutkan bicaranya, "Hai pasukan Quraisy. Demi Tuhan, sesungguhnya kita tidak dapat bertahan di sini lebih lama lagi. Haiwan-haiwan kenderaan kita telah banyak yang mati. Bani Quraizah berkhianat meninggalkan kita. Angin taufan menyerang kita dengan ganas seperti kalian rasakan ini. Kerana itu, berangkatlah kalian sekarang dan tinggalkan tempat ini. Sesungguhnya aku sendiri akan berangkat."

17 - Selesai berkata demikian, Abu Sufyan mendekati untanya, melepaskan tali penambat lalu dinaiki dan dipukulnya. Unta itu bangun dan Abu Sufyan langsung berangkat.

18 - Seandainya Rasulullah tidak melarangnya melakukan suatu tindakan di luar perintah sebelum datang melapor kepada baginda, tentu Huzaifah telah membunuh Abu Sufyan dengan pedangnya.

19 - Huzaifah Ibnu Yaman sangat cermat dan teguh memegang segala rahsia mengenai orang-orang Munafik selama hidupnya, sehingga kepada seorang Khalifah sekalipun. Bahkan Khalifah Umar bin Khattab, jika ada orang Muslim yang meninggal, beliau akan bertanya, "Apakah Huzaifah turut mensolatkan jenazah orang itu?" Jika mereka menjawab, "Ada," maka Umar akan turut mensolatkannya.

20 - Suatu ketika, Khalifah Umar pernah bertanya kepada Huzaifah dengan cerdik, "Adakah di antara pegawai-pegawai ku orang Munafik?"

"Ada seorang," jawab Huzaifah.

"Tolong tunjukkan kepada ku siapa?" kata Umar.

Huzaifah menjawab, "Maaf Khalifah, saya dilarang Rasulullah mengatakannya."

21 - Walau demikian, amat sedikit orang yang mengetahui bahawa Huzaifah Ibnu Yaman sesungguhnya adalah pahlawan penakluk Nahawand, Dainawar, Hamadzan dan Rai. Beliau membebaskan kota-kota tersebut bagi kaum Muslimin dari genggaman kekuasaan Persia. Huzaifah juga termasuk tokoh yang mempelopori keseragaman mushaf Al-Quran, sesudah Kitabullah itu beraneka ragam coraknya di tangan kaum Muslimin.

22 - Ketika Huzaifah sakit kuat menjelang ajalnya tiba, beberapa orang Sahabat datang mengunjungi beliau pada tengah malam. Huzaifah bertanya kepada mereka, "Pukul berapa sekarang?"

Mereka menjawab, "Sudah dekat Subuh."

Huzaifah berkata, "Aku berlindung kepada Allah dari Subuh yang menyebabkan aku masuk Neraka."

23 - Beliau bertanya lagi, "Adakah kalian membawa kain kafan?"

Mereka menjawab, "Ada."

24 - Huzaifah berkata, "Tidak perlu kafan yang mahal. Jika diri ku baik dalam penilaian Allah, Dia akan menggantikannya untuk ku dengan kafan yang lebih baik. Dan jika aku tidak baik dalam pandangan Allah, Dia akan menanggalkan kafan itu dari tubuh ku."

25 - Sesudah itu beliau berdoa kepada Allah, "Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu, aku lebih suka fakir daripada kaya, aku lebih suka sederhana daripada mewah, aku lebih suka mati daripada hidup."

26 - Sesudah berdoa demikian, rohnya pun pergi menghadap Ilahi. Seorang kekasih Allah kembali kepada Allah dalam kerinduan.

27 - Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya.

A L - F A T I H A H


Ulasan

Catatan Popular